Halaman

Sabtu, April 30, 2011

Peliharalah Keluargamu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...



Ketika menunaikan solat jumaat semalam,antara yang disampaikan oleh pembaca khutbah ialah tentang tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka.Ini kerana, pentingnya didikan ibu bapa terhadap anak-anak mereka supaya anak-anak menjadi anak yang soleh dan berguna buat masyarakat dan agama.

Hari ini,kita dalam melihat bagaimana anak muda hari ini banyak yang telah semakin jauh menyimpang dari ajaran Islam.Pergaulan bebas,zina,buang bayi,rempit,dadah,bunuh dan banyak lagi kes-kes jenayah kalau kita lihat majoritinya adalah orang Islam.

Masalah keruntuhan moral dan akhlak remaja hari ini semakin meruncing.Dapat kita lihat dunia hari ini yang mana maju dari segi pembangunan namun kembali ke zaman jahiliyyah dari segi akhlak dan moral.Runtuhnya akhlak seorang muslim akan membawa mesej buruk kepada masyarakat dunia terhadap Islam.

Jadi,ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini.Pendidikan dari kecil terhadap anak-anak mereka terhadap ilmu agama adalah perlu.Ini kerana,inilah yang bakal membentuk jiwa anak-anak untuk menjadi jiwa yang bersih dan mulia.

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi…” ( Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Jadi,pendidikan awal daripada ibu bapa adalah penting.Kalau kita lihat hari ini bagaimana ibu bapa memandang remah akan hal seperti ini.Pada pandangan mereka,pendidikan agama adalah tanggungjawab ustaz dan ustazah di sekolah.Inilah kesalahan besar ibu bapa hari ini.

Sesetengah ibu bapa juga kurang mengambil berat tentang akhlak anak-anak mereka.Ibu bapa hari ini kononnya tidak mahu menegur anak-anak mereka yang tidak menutup aurat kerana takut sianak berkecil hati.Ada juga para ibu bapa hari ini yang mungkin merasakan bahawa anak-anak mereka perlu diberikan kebebasan untuk mengikut kehendak sendiri.Inikah yang mereka kata mereka sayang terhadap anak-anak mereka?

Firman Allah s.w.t.

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka pada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"

(surah at-Tahrim : 6)

Allah telah memberi peringatan kepada kita supaya menjaga diri kita dan ahli keluarga kita daripada menjadi bahan bakar dineraka.Ibu bapa hari ini merasa marah apabila melihat ada anak-anak yang didera dengan seterika panas,namun tidakkah mereka berfikir bagaimana kealpaan dan sikap memandang dengan sebelah mata terhadap didikan Islam terhadap anak-anak mereka telah membawa anak-anak mereka kepada siksaan yang lebih dahsyat yakni di dalam neraka Allah.Siapakah yang lebih kejam??

Adakah si ibu yang mendera anaknya menggunakan seterika panas atau si ibu dan ayah yang telah membiarkan anak mereka menuju neraka Allah?

Ingatlah,bahawa sesungguhnya diakhirat kelak,semua orang akan disoal akan kepimpinannya.Perdana Menteri akan disoal tentang tanggungjawabnya,si ayah akan dipersolakan tentang tanggungjawab mereka dalam mendidik anak-anak mereka.Amanah yang Allah berikan adakah telah dijaga dengan sebaik mungkin ataupun tidak.

Kalau hari ini anak-anak Yahudi sama seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran, kalau hari ni anak-anak Nasrani sama seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran, kalau hari ini orang-orang munafik dan kufur sama seperti digambarkan di dalam Al-Quran,kenapa hari ini anak-anak generasi Islam tidak seperti apa yang digambarkan didalam Al-Quran?

Kalau orang Yahudi,Nasrani boleh serupa seperti apa yang diceritakan dalam Al-Quran kenapa tidak kita sama seperti apa yang Allah ceritakan dalam Al-Quran.Bukankah kita ini adalah penerus kepada perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan dan menegakkan agama Allah dimuka bumi ini.

Ingatlah,bahawa sesungguhnya diakhirat kelak ada pertanggungjawapan atas kesemua yang dilakukan di dunia.Fikirkanlah juga kebaikan kehidupan akhirat anak-anak dan jangan hanya memikirkan tentang kebaikan kehidupan di dunia yang sementara ini.Boleh mengejar dunia tapi jangan sampai matlamat akhirat berciciran.

Oleh itu,ingatlah bahawa para ibu dan ayah mempunyai tanggungjawab dalam mendidik anak-anak untuk mengenali Allah.Kalau ibu bapa Yahudi berjaya menyahudikan anak-anak mereka kenapa tidak ibu bapa yang beragama Islam untuk membentuk anak-anak menjadi Muslim yang sejati.

Tiada ulasan: